
Anugerah Kebebasan Oxford yang diterima oleh Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi secara rasminya kini ditarik balik selepas mengambil kira sikap dan peranan yang gagal dimainkannya dalam menangani krisis kekejaman tentera terhadap etnik Rohingya.
Menurut portal berita Channel News Asia, Dewan Perbandaran Oxford sebulat suara memutuskan untuk melucutkan penghormatan tersebut kepada Aung San Suu Kyi secara kekal dalam undian yang diadakan semalam.
Ahli Majlis Bandar Raya Oxford, Mary Clarkson yang mengusulkan tindakan itu pada bulan Oktober lalu berkata, tindakan itu dibuat kerana bandar berkenaan enggan dikaitkan dengan individu yang tidak mengendahkan keganasan yang berlaku di negara mereka sendiri.
“Hari ini kami telah mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu melucutkan penghormatan tertinggi ini kerana sikap yang ditunjukkan oleh Suu Kyi dalam mendepani penindasan penduduk minoriti Rohingya.
“Oxford mempunyai sejarah tersendiri sebagai bandar yang pelbagai dan berperikemanusiaan tetapi reputasi kami telah tercemar kerana menganugerahkan individu yang menutup mata terhadap keganasan. Kami berharap tindakan ini akan dapat meningkatkan sokongan terhadap hak asasi manusia dan keadilan bagi rakyat Rohingya,” jelas beliau.
Anda dijemput untuk like facebook page rasmi kakinetwork.com