Gunung Senyum Di Jengka Tersimpan Misteri

GUNUNG Senyum adalah terletak dalam kawasan Hutan Simpan Senyum Jempol, bersempadan dengan Felda Jengka 25 dan di dalam kawasan pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Sawar di Temerloh, Pahang.

Selain menjadi tumpuan pelancong, Gunung Senyum juga merupakan kawasan hutan yang dipercayai menjadi penempatan manusia purba dan menyimpan misteri. Pengerusi JKKK Gunung Senyum, Azeman Mohamed berkata, sebagai anak jati kampung itu, banyak kisah menarik yang diketahuinya, antara lain ialah Gunung Senyum adalah habitat kambing gurun yang jarang sekali dapat ditemui di kawasan lain.

“Saya tahu ia wujud dan pernah melihat ada orang kampung yang berjaya menangkapnya, hanya mereka yang bertuah sahaja akan terserempak dengan kambing gurun ini jika mendakinya”, katanya. Azeman berkata, keistimewaan Gunung Senyum ialah guanya, pendaki boleh bermalam di kaki gunung yang mempunyai kemudahan asrama, chalet dan tapak perkhemahan dan ia dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan negeri Pahang yang mewartakan kawasan rekreasi ini sebagai Hutan Lipur Gunung Senyum.

Menurutnya, sekiranya pendaki berada di puncak mereka boleh menyaksikan panorama indah pemandangan Sungai Pahang beratus batu jauhnya serta perkampungan Melayu di tepi sungai. “Puncak gunung ini pernah terbakar pada tahun 1983 dipercayai berpunca daripada sekumpulan pendaki yang tidak memadam unggun api tempat mereka bermalam sepenuhnya, lama juga terbakar tak silap saya lebih sebulan. Sekitar lima tahun dahulu juga pernah berlaku kebakaran di puncak, memang kat atas banyak pokok yang mudah terbakar, kejadian kedua ini tak silap saya berpunca daripada panahan petir, jika berlaku kebakaran kat atas tu memang sukar untuk bomba padamkan api”, katanya.

Gunung Senyum Di Jengka Tersimpan Misteri

Menurutnya, antara gua yang menarik dikunjungi ialah Gua Angin yang sesuai dengan namanya. Berada di dalam gua ini pengunjung pasti tidak terasa hangat kerana tiupan angin lembut tidak pernah terhenti.

“Begitu juga dengan gua Makam Tok Long, katanya penghuni gua ini berkahwin dengan orang bunian tetapi selepas memungkiri janji Tok Long tak lagi bertemu dengan isterinya hinggalah dia mati dan dikebumikan di dalam gua ini. Banyak lagi gua-gua menarik di sini dan setiap gua akan ada papan info menceritakan mitos-mitos asal nama gua”, katanya.

Gunung Senyum Di Jengka Tersimpan Misteri

Bagaimanapun, di sebalik keindahan panorama Gunung Senyum, sebenarnya persekitarannya juga tetap ada bahaya dan risikonya dan pernah dilaporkan berlaku beberapa kes kemalangan melibatkan pengunjung. Kejadian yang meragut nyawa dua pendaki di kawasan itu dikongsi bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gunung Senyum, Ahmad Ghani, 60.

Ahmad yang juga anak jati tempatan berkata, ada pendaki yang terjatuh ke dalam gaung selepas memasuki salah satu gua di situ. Menurutnya, pendaki tersebut asalnya orang tempatan namun berpindah ke daerah lain sebelum berkunjung ke Gunung Senyum bersama sekumpulan pendaki lain.

Gunung Senyum Di Jengka Tersimpan Misteri

“Entah mana silapnya sewaktu sedang mendaki mangsa tergelincir lalu terjatuh ke dalam gaung, mayatnya tersangkut pada sebatang pokok di dasar gaung”, katanya. Ahmad berkata, ada juga pendaki yang mengalami kecederaan terpaksa dibawa turun dengan menggunakan helikopter bomba.

“Memang kawasan ini cantik tetapi sekiranya tidak berhati-hati banyak perkara tidak diingini boleh berlaku. Ada juga kisah misteri yang berlaku antaranya kejadian seorang pendaki dari jauh terpaksa pulangkan semula batu yang diambil dari salah sebuah gua kerana mengalami mimpi aneh dan ditimpa sakit. Ada juga kisah pendaki terpaksa bersihkan semula kesan air kencing yang dibuang semasa mendaki kerana dipercayai tempat orang bunian, sejauh mana kisahnya saya tak pasti tetapi memang berlaku”, katanya.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.