Pembinaan Patung Jesus Di Perkampungan Portugis, Melaka Akan Dipindahkan

Isu membabitkan binaan patung Jesus tanpa kebenaran di perkampungan Portugis di Ujong Pasir kini dianggap selesai berikutan persetujuan pihak terbabit menurunkan struktur terbabit. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin berkata, MBMB mengeluarkan notis pemberhentian kerja pada 30 Oktober lalu selepas mendapati struktur berkenaan didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Beliau berkata, kerja-kerja menurunkan binaan itu sudah dilaksanakan Selasa lalu. Pada masa sama, katanya, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Portugis telah diminta menyerahkan jadual kerja kepada MBMB untuk pemantauan.

“MBMB mengambil kira binaan itu tidak mengikut undang-undang selain faktor keselamatan dan halangan pemandangan kepada penduduk kampung dan pelancong. Ekoran perbincangan dengan pengerusi dan ahli majlis JKKK Kampung Portugis, Pengerusi JKKK telah bersetuju menurunkan struktur terbabit selain mengeluarkan surat akujanji untuk akur dengan keputusan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan yang diserahkan kepada media di sini, semalam.

Pembinaan Patung Jesus Di Perkampungan Portugis, Melaka Akan Dipindahkan

Sebelum ini, binaan patung yang mirip patung Christ The Redeemer di Brazil telah dibina di kawasan letak kereta Dataran Portugis bagi menyambut ketibaan Krismas bulan hadapan. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron sebelum ini turut meminta MBMB mencari penyelesaian bersama bagi isu berkenaan, termasuk mendapatkan kerjasama pemimpin setempat untuk mengenal pasti tapak bersesuaian untuk memindahkan binaan itu.

“Undang-undang tetap undang-undang. Bagaimanapun, saya serahkan kepada MBMB untuk mencari penyelesaian yang boleh menggembirakan kedua pihak,” kata beliau. Sementara itu, Idris turut kesal dengan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan isu berkenaan untuk kepentingan politik mereka.

“Kita bukan merobohkan binaan itu tetapi sekadar meminta mereka mencari lokasi yang lebih sesuai. Ini tidak perlu dipolitikkan,” katanya.

Sumber – Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.